TANYA TEACHER : Nak Anak Pandai Baca? Mainlah bersama!
Ramai ibu bapa yang sangat prihatin terhadap perkembangan membaca anak. Maka ramai jugalah yang panik jika anak masih tidak pandai membaca ketika sudah masuk darjah satu. Tidak salah jika kita mahu anak pandai membaca, tetapi kita harus bersikap adil terhadap anak.
Tahukah anda bahawa membaca itu adalah satu proses yang panjang dan kompleks serta memerlukan latihan serta tunjuk ajar yang konsisten? Juga tahukah anda bahawa mengajar anak membaca bukan dengan hanya menggunakan buku sahaja?
Ya. Mengajar anak membaca bukan dengan hanya menggunakan buku sahaja. Jadi bagaimana mahu ajar anak membaca? Maka biarkanlah mereka bermain kerana itulah pekerjaan mereka.
Di sinilah silap kita. Kita sangka nak anak pandai baca buku, kita ajar dia membaca hanya dengan guna buku. Ini silap besar.
Apa akan berlaku bila kita hanya guna buku sahaja?
1. Anak akan dikatakan cepat BOSAN.
2. Anak akan dikatakan asyik MAIN.
3. Anak akan dikatakan LAMBAT belajar.
Ini adalah tuduhan yang tidak adil kepada seorang anak kecil.Buku bukanlah semata-mata sumber yang kita ada untuk mengajar anak membaca.Anak belajar melalui bermain. Dan melalui bermain itulah sebenarnya dia boleh membaca. Bagaimana ya?
Mari saya bantu anda. Sebelum nak anak pandai baca, kena ada SYARAT dulu. Apakah ia?
1. Jangan GOPOH atau tergesa-gesa nak anak pandai baca. Anak kita bukan ROBOT. Mereka manusia biasa yang perlukan ruang dan masa untuk belajar.
2. Jangan BANDING kan anak kita dengan anak orang lain. Sedangkan di kalangan adik beradik pun dah berlainan inikan pula anak jiran. Anak kita punya upaya dan kekuatannya yang tersendiri. Jadi, BANTU lah mereka.
3. Jangan TAK TAHU bahawa membaca ini adalah satu proses. Ia bukan berlaku secara tiba-tiba atau anak lahir terus pandai. Ia juga tidak berlaku dengan pantas saat anak masuk tadika. Proses ini panjang dan kompleks. Berlainan mengikut keupayaan anak. Maka BERSABARLAH.
4. Jangan INGAT tadika anak tempat SEPATUTNYA anak pandai baca. Guru hanya pemudah cara tetapi IBU BAPA lah guru PERTAMA dan RUMAH pula sekolah UTAMA. Jadi proses membaca seharusnya bermula dari Rumah.
Jom kita mula ajar anak membaca cara santai dan tidak STRES.
Inilah peringkat pertama untuk anak-anak membaca. Tiada guna apa-apa metod nak bagi anak pandai baca. Mulakan dengan KOMUNIKASI dengan anak.
BERBUAL
BERCERITA
BACAKAN BUKU
MAIN
Masa inilah anak-anak kumpul perkataan. Masa inilah anak-anak dibiasakan mendengar pelbagai perkataaan.
Jadi, bila sampai peringkat kenal suku kata, anak tak akan terkejut. Mereka dah biasa dengan pelbagai perkataan dan bunyi. Jadi ia memudahkan proses membaca berlaku.
Kita belajar Fun-fun je. Jangan stress. Janganlah guna buku 24 jam. Anak-anak belajar secara hands-on dan bermain.
Belajarlah juga membaca dari tanda jalan, tajuk akhbar, label, senarai barang, poster dan sebagainya.
InshaAllah jika anak kita tiada masalah kesihatan dan pembelajaran, anak kita pasti boleh baca. Kuncinya SABAR dengan proses ini, KONSISTEN dengan usaha dan YAKIN dengan hasilnya nanti.